perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu

بسم الله الر حمن الر حيم

Di Malaysia Gerakan Liberalisme dalam kesamaan agama-agama dicadang dengan penubuhan InterFaith Commision (IFC) atau nama asalnya Inter Religious Council (IRC) atau Majlis Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Badan ini berfungsi seperti sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama- agama yang tersabit. IRC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama. Jika diteliti, penubuhan IRC ini ditaja oleh Malaysian Consultative Council of Budhism, Christianity, Hinduism, and Shiks (MCCBCHS) atau Majelis Perundingan Malaysia Agama Budha,Kristian,Hindu dan Shik melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001. Kandungan memorandum tersebut adalah :
1.   Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah sivil.


2.   Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

3.   Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka(murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4.   Tidak perlu dicatat dalam kad pengenalan seseorang muslim bahawa ia beragama Islam.

5.   Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6.   Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.

7.   Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8.   Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan- peraturan tertentu.

9.   Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10.               Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11.               Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12.               Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendakla ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13.               Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14.               Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Dari butir-butir memorandum di atas dapat dilihat bahawa agenda utama penubuhan IFC adalah mendudukkan semua dalam kedudukan yang sama, sehingga setiap orang bebas untuk menentukan status agamanya dan tidak ada halangan seorang muslim untuk melakukan murtad.

Penubuhan IFC ini ditaja oleh yayasan Barat sebagaimana terbukti pada Persidangan Kebangsaan “Towards the Formation of the Interfaith Commission of Malaysia” yang berlangsung pada 24-25 Februari 2005 di Hotel Equatorial Bangi, Selangor terdapat Jawatan Kuasa Pemandu IRC iaitu Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan Malaysian Interfaith Network. (Untuk lebih penubuhan IFC sila rujuk Malaysian Interfaith Commision – A Docementation, Konrad Adenauer Foundation, 2007).

Istilah dan metodologi  yang dicanangkan oleh orientalis Barat selalu dilihat  gagah dan diadaptasikan  serta  digembar gemburkan media hingga ianya seakan-akan Istilah yang ada kewajaran  terhadap ruang lingkup membudayakan ajaran Islam , bahawa Istilah mereka spt Islam liberal itu merupakan satu mazhab dalam Islam.

Padahal makna “Islam liberal” itu adalah pemikiran liberal terhadap Islam, atau pemikiran yang berupaya me “liberal”kan umat Islam dari ajaran Islam yang sudah tetap sebagaimana yang telah disepakati oleh Ahlussunnah waljamaah seperti dinyatakan dalam kitab Aqidah Nasafi : “Haqaa iqul asy ya’ tsabitah wa ilmu biha mutahaqqiqun”, Hakikat setiap perkara itu adalah tetap, dan ilmu mengenainya dapat dicapai ”.

Islam liberal bukan bagian dari pemikiran Islam tetapi pemikiran yang ditujukan untuk merosak nilai-nilai dan ajaran Islam baik dalam bidang akidah, syariah dan akhlak. Oleh sebab itu umat Islam harus waspada sebab istilah “Islam liberal” bukanlah mazhab dalam Islam, malahan merupakan pemikiran yang merosak Islam dengan bertopengkan istilah Islam.

Islamic Liberalism , Islam fundamentalis, Islam moden dll . adalah ebahagian istilah dukungan orientalis barat ditujukan untuk merosak nilai-nilai dan ajaran Islam baik dalam bidang akidah, syariah dan akhlak. Peradaban Islam terus dirobek robek untuk  mengaburi pemikiran umat  dan mengelirukan pemahaman umat Islam terhadap ajaran agamanya.

Gerakan modenisme Islam  terus  muncul di dunia Islam sebagai suatu konsekuensi , inter-aksi dunia Islam dengan tamadun Barat. Modenisme Islam  itu dipengaruhi oleh cara berfikir Barat yang berasaskan kepada rasionalisme, humanisme, sekularisme dan liberalisme.

Modenisme di Barat digerakkan oleh falsafah “enlightenment” yang berteraskan kepada humanisme sekular iaitu : “Cara berfikir dan cara hidup yang bertujuan memberikan yang terbaik bagi manusia dengan menolak segala kepercayaan agama dan kuasa luar tabi’i. Humanisme sekular menekankan rasio manusia dan pengkajian saintifik, kebebasan individu dan pertanggungjawaban, nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang serta keperluan terhadap toleransi dan kerjasama”.

Modenisme Barat tersebut memberikan penekanan terhadap rasionalisme dan liberalisme atau pembebasan manusia dari tradisi agama dan dogma sebagaimana yang dibawa oleh pakar falsafah Barat seperti Rene Descartes (1592-1650), Jhon Locke (1632-1704), Immanuel Kant (1724-1804), David Hume (1711-1776), August Comte (1798-1857) Jeremy Bentham (1748-1832), Jhon Stuart Mill (1806-1873), Nietzsche (1844-1900), Satre (1905-1980) dan lain sebagainya.

Gerakan liberalisasi agama ini telah lama terjadi pada agama yahudi dan kristen. Sebagai contoh, Gerakan Yahudi Liberal (Liberal Judaism) telah muncul  sebagai upaya menyesuaikan dasar-dasar agama yahudi dengan nilai-nilai zaman pencerahan (Enlightenment) tentang pemikiran rasional dan bukti-bukti sains.

Organisasi Yahudi Liberal didirikan pada tahun 1902 oleh orang yahudi yang memiliki komitment terhadap filsafat liberal dengan tujuan mempercayai kepercayaan dan tradisi yahudi dalam dunia kontemporer. Akibatnya dari pemahaman liberal tersebut maka 31 Pemuka agama yang tergabung dalam persatuan Rabbi yahudi Liberal (Liberal Judaism’s Rabbinic Conference) terdapat empat orang rabbi lesbian dan dua orang rabbi gay. (Adian Husaini, dalam pengantar buku 50 Tokoh Islam Liberal, Budi Handrianto, m.s.xvii)

Dalam agama kristian terdapat kelompok Kristin Liberal, mereka melakukan rekontruksi keimanan dan hukum dengan memakai metode sosio-historis dalam agama (merubah prinsip iman dan hukum agama sesuai dengan perkembangan masyarakat), sehingga Charles A. Briggs, seorang kristin Liberal menyatakan : “It is sufficient that Bibel gives us the material for all ages, and leaves to an the noble task of shaping the material so as to suit the wants of his own time” (Alister E. McGrath, The Balckwell Encyclopedia of Moden Christian Thought, Oxford, 1993).

Pengaruh liberalisme agama yang telah terjadi di dalam agama yahudi dan kristin mulai diikuti oleh sekumpulan sarjana dan pemikir muslim seperti yang dilakukan oleh Nasr Hamid Abu Zayd (Mesir), Muhammad Arkoun (Al-Jazair), Abdulah Ahmed Naim (Sudan), Asghar Ali Enginer (India), Aminah Wadud (Amerika), Noorkholis Madjid, Syafii Maarif, Abdurrahman Wahid, Ulil Absar Abdalla (Indonesia), Muhamad Shahrour (Syria), Fetima Mernisi (Marocco) Abdul Karim Soroush (Iran), Khaled Abou Fadl (Kuwait) dan lain sebaginya. Di samping itu terdapat banyak kelompok diskusi, dan institusi seperti Jaringan Islam Liberal (JIL – Indonesia), Sister in Islam (Malaysia) hampir si seluruh negara Islam (lihat laman web .unc.edu/~kurzman/ LiberalIslamLink.)

Jaringan Islam Liberal merumuskan bahawa tujuan gerakannya ke dalam empat hal :
1.    Memperkuat landasan demokrasi melalui penanaman nilai-nilai pluralisme, inklusivisme, dan humanisme.
2.    Membangun kehidupan beragama yang berdasarkan kepada penghormatan atas perbedaan.
3.   Mendukung dan menyebarkan cadangan keagamaan yang pluralis, terbuka dan harmonis.
4.   Mencegah agar pandangan–pandangan keagamaan yang militan dan pro-kekerasan tidak menguasai wacana publik

Denny JA seorang tokoh Jaringan Islam Liberal menjelaskan bahawa Islam liberal adalah kelompok yang menginterpretasikan Islam sejalan dengan modenitas, dan demokrasi. “Demokrasi sebagaimana yang diteorikan dan dipraktikkan di seluruh dunia adalah sekular, di mana negara mengambil jarak yang sama atas pluralitas agama ataupun pluralitas interpretasi agama”. (Adia Husaini, Islam Liberal, m.s.8)

Gerakan Islam liberal di Malaysia seperti kumpulan “Sister in Islam” menyatakan bahawa Sister in Islam adalah satu organisasi bukan kerajaan yang bebas, ditubuhkan pada tahun 1988 percaya bahawa Islam mempertahankan prinsip-prinsip kesamarataan, keadilan, kebebasan, dan kemuliaan. Dalam laman web Sister in Islam menyatakan bahawa objektif mereka adalah :
1.   Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realit wanita.

2.   Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki.

3.   Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar mengenai kesaksamaan,keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.

Untuk mencapai objektif-objektif tersebut, SIS telah memulakan aktiviti dalam empat bidang :
1.   Penyelidikan dan tafsiran sumber-sumber teks Islam.

2.   Advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang

3.   Meningkatkan kesedaran orang ramai dan pendidikan awam.

4.   Perancangan strategik dan pembentukan dasar.

Gerakan Islam liberal di Malaysia lebih banyak difokuskan kepada persamaan hak antara wanita dan lelaki (feminisme) sehingga pada bulan Mac 2007 Sister In Islam (SIS) dengan ditaja oleh lembaga dan yayasan dari negeri Barat seperti Oxfam Novib, Ford Foundation, Global Fund for Women, The Sigrid Rausing Trust dan Hivos membentuk kelompok dan jaringan yang memperjuangkan persamaan hak wanita dan lelaki dalam Islam seluruh dunia yang mereka namakan dengan gerakan Musawah yang didukung oleh tokoh-tokoh liberal dan feminisme dari 12 negara di dunia seperti Amina Wadud (Amerika), Musdah Mulia (Indonesia) dan lain sebagainya.

Oleh sebab itu Syekh Abdullah al-Khatib dalam kitabnya “al-Islam wa raddu ala hurriyatil fikri” menyatakan bahawa golongan yang berfikiran bebas mempunyai agenda tersembunyi iaitu :
1.   Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan syariat Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba.

2.   Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan ruh, wahyu dan alam ghaib dan dari segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.

3.   Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan, dan ketidak percayaan kepada agama dan wahyu (ilhad) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat.

Dari kenyatan di atas dapat dilihat bahawa pemikiran Islam Liberal sangat erat kaitannya dengan gagasan falsafah Barat seperti sekularisme, rasionalisme, humanisme, demokrasi, kebebasan individu, pluralisme, feminisme, relativisme, nihilisme, dan lain sebagainya.

1.   Kelompok muslim liberal akan berfikir bahawa definisi muslim – kafir harus ditinjau kembali di mana seorang kafir bukan tidak beriman dan percaya kepada Allah tetapi orang yang tidak beragama atau tidak memiliki agama. Sedangkan orang yang beragama, walaupun bukan agama Islam, itu termasuk orang beriman. Budhy Munawar Rahman, pensyarah Universitas Paramadina menyatakan : “Teologi pluralis memberikan legitimasi kepada kebenaran semua agama, dan pemeluk agama apapun layak disebut sebagai orang yang beriman, dengan makna “orang yang percaya kepada Tuhan”, kerana sesuai dengan al-Quran Surah 49:10-12. sebab mereka semua adalah bersaudara dalam iman. Kerananya, hal yang diperluka sekarang dalam penghayatan Pluralisme agama adalah pandangan bahawa siapapun yang beriman adalah sama di hadapan Allah, kerana Tuhan kita semua adalah Tuhan yang Satu” (Wajah Islam Liberal, 2002, m.s. 51-53).


2.   Islam liberal juga berpendapat bahawa walaupun berbagai macam agama tetapi tuhan itu satu, sebagaimana yang terlihat dalam Filsafat perenial, sebagaimana diungkapkan oleh Noorcholis Madjid : “Sebagai sebuah pandangan keagamaan, pada dasarnya Islam bersifat inklusif dan merentangkan tafsirannya ke arah yang semakin pluralis. Sebagai contoh, filsafat perenial yang ke belakangan ini banyak dibicarakan dalam dialog antara agama di Indonesia merentangkan pandangan pluralis dengan mengatakan bahawa Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda adalah Tuhan, dan jari-jarinya itu adalah jalan dari berbagai agama. Filsafat perenial juga membahagi agama pada level esoterik (batin) dan eksoterik (zahir). Satu agama berbeda dengan agama lain dalam level eksoterik, tetapi relatif sama dalam level esoteriknya. Oleh kerana itu ada istilah “Satu Tuhan Banyak Jalan” (Tiga Agama Satu Tuhan, Bandung , 1999, m.s. xix).

Majalah Herald The Catholic Weekly pada tahun bulan Mei 2009 meminta kepada Mahkamah Tinggi Malaysia untuk membenarkan pengarang majalah menterjemahkan kalimat “God” dengan kalimat “Allah” sebagai bentuk terjemahan ke dalam bahasa. Kerajaan Malaysia tidak meluluskan permintaan pemakaian kalimat Allah sebagai pengganti kalimat “God” tersebut sebab kalimat Allah hanya dapat dipakai oleh agama Islam. Permintaan menamakan tuhan agama nasrani dengan kalimat Allah atau membolehkan agama lain untuk memakai nama Allah atau istilah-istilah agama yang lain seperti Kaabah, Sholat, Syahadat, merupakan gejala satu tuhan untuk semua agama yang dicadangkan oleh Islam liberal. Sebab dengan nama Allah dapat dipakai untuk tuhan agama lain berarti mendukung pemikiran liberal tentang “Satu Tuhan Banyak Agama” , sebagaimana yang dinyatakan dalam filsafat perenial dengan teori “Trancedental Unity of Religions”, kesatuan semua agama.

Ulil Absar Abdallah, penyelia Jaringan Islam Liberal di Indonesia menyatakan bahawa “Semua agama adalah sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan agama yang paling benar” (Majalah Gatra, 21 Desember 2002 ). Ulil Absar juga menulis : “Dengan tanpa rasa segan dan malu saya mengatakan bahawa semua agama adalah tepat berada pada jalan seperti itu, jalan panjang menuju Yang Maha Benar. Semua agama, dengan demikian, adalah benar, dengan variasi, tingkat dan kadar kedalaman yang berbeda-beda dalam menghayati jalan religiusitas itu. Semua agama ada dalam satu keluarga besar yang sama : yaitu keluarga pencinta jalan menuju kebenaran yang tak pernah ada ujungnya” (Kompas, 18-11-2002, dalam artikel : “Menyegarkan kembali pemahaman Islam”)

Reza Shah-Kazemi, bekas perunding di Institut Kajian Dasar, Kuala Lumpur dalam tulisan “Macam-macam jalan ke syurga” menyatakan bahawa : “Walaupun agama lain kurang sempurna berbanding Islam, semua manusia yang beriman dengan Tuhan adalah umat yang satu. Tuhan adalah esa, maka semua orang beriman, tidak kira bagaimana penampilan dan bentuk agama serta sistem kepercayaan mereka dinilai berdasarkan kelayakan dan amal mereka, bukan berdasarkan label- label buatan. Hal ini berdasarkan ayat al-Quran (4:122) : “Orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah” ( Islam & Pluralisme, Kuala Lumpur, 2006, m.s.64 )

Abdul Munir Mulkan, pensyarah Uniersitas Islam Negeri Yogyakarta juga menulis: “Yang harus diyakini bahawa syurga Tuhan yang satu itu terdiri dari banyak pintu dan kamar. Tiap pintu adalah jalan pemeluk tiap agama untuk memasuki kamar syurganya. Syarat memasuki syurga adalah keikhlasan pembebasan manusia dari kelaparan, penderitaan, kekerasan,dan ketakutan, tanpa melihat agamanya, Inilah jalan universal syurga bagi semua agama ”. (Ajaran dan Jalan kematian Syekh Siti Jenar, 2002, m.s.44 ) .

Noorcholis Madjid menyatakan dalam syarahan di Taman Ismail Marzuki 21 Oktober 1992 tentang ahlul kitab : “Dan patut kita camkan benar-benar pendapat Muhammad Rasyid Ridha sebagaimana dikutip oleh Abdul Hamid Hakim bahawa pengertian Ahlul Kitab tidak hanya terbatas pada kaum Yahudi dan Kristen sahaja seperti tersebut jelas dalam al-Quran serta kaum Majusi seperti tersebutkan dalam sebuah hadis, tetapi juga mencakup agama-agama lainnya yang mempunyai suatu bentuk kitab suci”. (Liberalisasi Islam di Indonesia, m.s. 48).

Kelompok Islam Liberal berpendapat bahawa Ahlul Kitab itu dapat dipakai untuk semua agama bukan hanya untuk agama Yahudi dan Nasrani, sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad Ali, pensyarah agama Universiti Islam Negeri Jakarta “Sebagian mufassir memahami Ahlul kitab hanya mencakup orang yahudi dan nasrani pada zaman diturunkannya al-Quran, namun sebagian pakar menafsirkan Ahli Kitab sebagai semua penganut agama yahudi, nasrani, dan agama manapun, bilapun, dan di manapun”. Imam Qasimi (w.1914) bahkan memasukkan Budha sebagai Nabi yang benar. Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa siapapun yang mempercayai salah seorang Nabi atau salah satu kitab yang diturunkan Tuhan maka ia termasuk ahlul kitab. Orang Majusi, Shabi’in, penyembah tuhan di India, Cina, Jepang dan sebagainya adalah termasuk ahli Kitab” (Harian Kompas, Paradigma Baru Misi Agama-agama, 14 Juli 2000)

Islam Liberal juga menggugat kesucian kitab suci al-Quran dengan melakukan studi kritis terhadap al-Quran. Lutfi Syaukani, pengasas Jaringan Islam Liberal di Jakarta mengatakan : “Sebagian besar kaum muslimin meyakini bahawa al-Quran dari halaman pertama hingga terakhir merupakan kata-kata Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad secara langsung baik dalam lafaz mahupun dalam makna. Kaum muslimin juga meyakini bahawa al-Quran yang mereka lihat dan baca hari ini adalah persis sama seperti yang ada pada masa Nabi lebih dari seribu empat ratus tahun silam. Keyakinan semacam itu sesungguhnya lebih merupakan formulasi dan angan-angan teologis (alkhayal al-diniy), yang dibuat oleh para ulama sebagai bagian daripada doktrin Islam. Hakikat sejarah penulisan al-Quran sendiri sesungguhnya penuh dengan berbagai keadaan yang kacau dan tidak lepas dari perdebatan, pertentangan, tipu daya dan rekayasa”.(Lutfi Syaukani, Merenungkan Sejarah al-Quran, dalam Abd.Muqsith Ghazali, Ijtihad Islam Liberal, 2005, hal.1.).

Di Malaysia, Kasim Ahmad dalam tulisannya telah meragui ayat terakhir dari surah at-Taubah di mana beliau mendakwa : “Tiap-tiap surah dalam al-Quran dibuka dengan kenyataan ”dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih” dikenali dengan basmalah kecuali surah 9 yakni at-Taubah. Ketiadaan Basmalah dari surah at-taubah menimbulkan kehairanan kepada ahli tafsir selama 14 abad. Banyak teori yang telah dikemukakan untuk menghuraikan fenomena ini. Sekarang kita tahu bahawa ketiadaan Basmalah memainkan peranan penting sebagai satu ciri mukjizat matematik Quran dan juga satu tanda daripada Allah bahawa surah at-taubah telah dicemar dan perlu dibersihkan” (Hadis : Jawapan kepada pengkritik, m.s. 61).

Islam Liberal juga meragui keperibadian Rasulullah SAW dan kemaksuman baginda, sebagaimana dinyatakan oleh Farish A. Noor : “Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik yang bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti sifat kemanusiaan Nabi” (NST, 4 nov. 2000).
“Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku dan oleh itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin suku lebih dari pemimpin agama” ( NST, 1 Dis. 2001 ).

Astora Jabat dalam tulisannya di majalah Al-Islam keluaran bulan November 2003/Ramadhan 1424 membuat kenyataan yang menolak adanya azab dan nikmat kubur walaupun berita tentangnya sabit dalam banyak hadis yang soheh. (Siri Serangan Pemikiran , 2006 , m.s. 55)

Harun Nasution, bekas rektor Universiti Islam Negeri Jakarta , dan tokoh Islam Liberal menyatakan bahawa : ” bagiku, rukun iman itu tinggal lima, seperti disebut dalam al-Quran. Di dalam al-Quran tak disebut rukun iman yang keenam iaitu Qadha dan Qadar ”(Kenyataan ini dapat dilihat dalam buku Refleksi Pembaharuan Pemikiran Islam 70 tahun Harun Nasution, tahun 1989. Buku ini telah diharamkan oleh JAKIM). Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa Harun Nasution menolak iman kepada Qadha dan Qadhar yang telah disepakati ulama Ahlussunnah waljamaah berdasarkan hadis yang sahih dan mutawatir.

Kasim Ahmad, tokoh Anti Hadis di Malaysia dalam bukunya ” Hadis : Jawapan  kepada pengkritik ” juga menyatakan bahawa : Al-Quran menyebutkan lima sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebutkan enam iaitu dengan menambah Qadha dan Qadhar. Dalam kenyatan ini Kasim Ahmad menyakini bahawa rukun iman itu hanya lima sebab itu yang dinyatakan dalam al-Quran.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Greg Barton bahawa di antara tujuan Islam Liberal adalah merobah hukum-hakam agama Islam sehingga dapat disesuaikan dengan perkembangan zaman. Oleh sebab itu pemahaman al-Quran harus disesuaikan dengan perkembangan zaman sebagaimana dinyatakan oleh Azyumardi Azra, mantan rektor Universitas Islam Negeri Jakarta (dulu bernama IAIN Jakarta) : “Al-Quran menunjukkan bahawa risalah Islam – disebabkan universalitasnya- adalah selalu sesuai dengan lingkungan kultural apapun, sebagaimana (pada saat turunnya) hal itu disesuaikan dengan kepentingan lingkungan Semenanjung Arab. Kerana itu al-Quran harus selalu dikontekstualisasikan (disesuaikan) dengan lingkungan budaya penganutnya, di manapun dan kapan saja” .(Pengantar dalam buku Dari Neo-modenisme ke Islam Liberal , Dr. Abu A’la, 2003, hal.xi).

Kumpulan Jaringan Islam Liberal di Indonesia telah merosakkan ajaran syariah dengan menerbitkan buku “Fiqah Lintas Agama” yang menyatakan : “Soal pernikahan laki-laki non-Muslim dengan wanita muslimah merupakan urusan ijtihad dan terikat dengan konteks tertentu, di antaranya konteks dakwah Islam pada saat itu, di mana jumlah umat Islam tidak sebesar saat ini, sehingga pernikahan antara agama merupakan sesuatu yang terlarang. Kerana kedudukannya sebagai hukum yang lahir dari proses ijtihad, maka amat dimungkinkan bila dicetuskan pendapat baru bahawa wanita muslimah boleh menikah dengan laki-laki non-muslim atau pernikahan beda agama secara lebih luas amat dibolehkan apapun agama dan aliran kepercayaannya”. (Mun’im Sirry , Fiqih Lintas Agama, 2004, m.s. 164).

Ini adalah beberapa catatan tentang ancaman Islam liberal terhadap akidah, keimanan dan syariah Islam. Hal ini terjadi akibat kesalahan mereka dalam mengambil ilmu tentang Islam. Mereka mempelajari Islam dari pemikiran Orientalis Barat yang dipengaruhi oleh falsafah Barat. Oleh sebab itu, Ibnu Sirin berkata : “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh kerana itu hendaklah kamu perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu”
//Olahan semula utk kebersamaan menimba Ilmu dan memurnikan Akidah

Comments

Popular posts from this blog

Penggemar seni suara merbuk /perkutut Thailand/Siam

Sifat Calon Ahli Surga

Pertandingan Suara Merbuk Siam/Thailand