Aliran Ahli Sunah Waljamaah mengungguli persekitaran kehidupan manusia

بسم الله الر حمن الر حيم



Ahli Sunah Waljamaah terkenal kerana sejarah perkembangan pemikiran akidah Islam yang dinisbahkan kepada Jamaah majoriti terbesar umat Islam yang beriltizam kepada ajaran Islam.
Mereka tidak terdorong dan didorong oleh sikap, pegangan dan penghayatan Islam yang menyeleweng, menepati Sunnah Rasul dan Sahabat-sahabatnya.
Mereka adalah golongan yang benar-benar mendalami dan menguasai ilmu ketuhanan, kenabian, hari akhirat, kewibawaan memimpin dan berijtihad dan mengisbatkan sifat-sifat Allah seperti yang dilakukan oleh sebahagian ulama kalam.
Adalah ditegaskan bahawa kemunculan Ahli Sunah Waljamaah sangat berbeza dengan lain-lain aliran pemikiran akidah Islam.
Kemunculannya tidak bermotifkan politik seperti golongan Syiah dan tidak juga akibat perbezaan pendapat dalam mentafsirkan usul akidah seperti golongan Muktazilah, Qadariah dan Jabariah.
Ahli Sunah Waljamaah bukan satu organisasi atau pergerakan yang terancang dalam dunia pemikiran akidah Islam tetapi adalah golongan atau nama yang mengandungi makna jamaah majoriti umat Islam yang beriltizam kepada Quran dan Sunnah.
Ini adalah mengikut pemahaman yang diajar oleh Nabi s.a.w. dipegang dan dihayati oleh Sahabat, Tabiin, Tabi Tabiin dan umat Islam yang mewarisi mereka itu sehingga kini.
Pertumbuhan dan perkembangan Ahli Sunah yang ada sandaran Syariah dan sejarah mempunyai ruang lingkup dan pengertian yang sangat luas merentasi generasi Salaf dan Khalaf.
Ia tidak harus diwakili oleh seseorang tokoh atau aliran seperti Abu Hasan Asyaari, Abu Mansur Maturidi atau Ibnu Taimiah. Ia hendaklah merangkumi semua aliran dan mazhab akidah Islam yang beriltizam kepada Quran dan Sunnah.
Penghayatan kepada Quran dan Sunnah seperti terdapat di kalangan Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin dahulu.
Di samping itu penggunaan akal dan sistem logik bagi mengukuhkan apa yang ditegaskan oleh nusus Agama adalah penting.
Malah dalam keadaan masyarakat Islam dan manusia terus berkembang dan berubah dari aspek pemikiran, ilmu pengetahuan sains dan teknologi, ia semestinya berkhidmat memantapkan akidah Islam supaya akidah Islam mampu menghadapi cabaran serta terus menjamin kefahaman umat Islam terus mantap dan subur.
Pemahaman tradisi yang selalu dihuraikan oleh sebahagian besar ilmuan dan juga yang dihayati masyarakat Islam di rantau ini harus dinilai kembali kerana pemahaman tersebut masih dalam ruang terbatas dan tidak menyeluruh.
Pemahaman yang betul haruslah bersandarkan kepada syariah dan sejarah di samping perspektif metodologinya.
Maka, aliran yang beriltizam kepada Quran dan Sunnah serta mengutamakan kedua-duanya daripada segala pendekatan juga di bawah bumbung Ahli Sunah.
Ini kerana ia adalah manhaj dan pegangan Ahli Sunah yang sebenar. Sebaliknya mana-mana aliran yang bertentangan dengan Manhaj ini maka ia bukanlah dari Ahli Sunah.
Sumber akidah adalah sabit iaitu Quran dan Sunnah. Maka usul akidah juga sabit, pemahaman dan pengukuhan kepadanya adalah anjal (murunah) tetapi harus tunduk kepada kehendak kedua-dua sumber mutlak di atas.
Jika ini dapat difahami dan dihayati, maka pendekatan ini sesuai dan mampu menghadapi cabaran yang lahir dalam masyarakat Islam yang cuba menggugat kestabilan akidah Islam.
Akidah merupakan aset yang tidak ternilai. Pendekatan Ahli Sunah merupakan satu-satunya pendekatan yang menjamin keutuhan dan keunggulannya.
Hakikat ini telah diakui oleh ahli kaji firaq Islamiah. Sesungguhnya Mazhab Ahli Sunah Waljamaah pada hakikatnya adalah mazhab dan pegangan para Sahabat dan Tabiin serta generasi selepas mereka yang terdiri daripada imam yang masyhor.
Pada hari ini amat sukar untuk mendapati satu golongan atau firaq daripada umat Islam yang benar-benar menepati pegangan para Sahabat kecuali Ahli Sunah Waljamaah .
Oleh itu masyarakat Islam harus didedah dan dididik dengan pemahaman yang mendalam dan betul tentang aliran Ahli Sunah Waljamaah.
Semua lapisan masyarakat Islam terutamanya pihak berkuasa agama patut berusaha mencegah dan menghalang fahaman dan aliran lain yang boleh menghakis pegangan masyarakat Islam kepada Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar.
Maka usaha yang lebih gigih perlulah memantapkan lagi enakmen dan undang-undang pentadbiran agama Islam dan Penguatkuasaan yang menyeluruh termasuk jenayah akidah dan kerohanian dimanfaat lagi. Juga penguatkuasaan yang menyeluruh termasuk jenayah akidah dan kerohanian.
Kesatuan Manhaj dalam fahaman dan pegangan akidah Islam boleh memberikan impak besar pada keseragaman pegangan akidah, amalan Syariah dan sistem akhlak serta dapat menyumbang secara berterusan kepada kestabilan masyarakat dan perpaduan umat Islam.
Suntingan : kefahaman semula aswaja disisi perbezaan fahaman dan pendapat dalam mentafsirkan prinsip akidah Islam.

 

Comments

Popular posts from this blog

Penggemar seni suara merbuk /perkutut Thailand/Siam

Sifat Calon Ahli Surga

Pertandingan Suara Merbuk Siam/Thailand