PEMUDA UMNO TETAP PERTAHANKAN HAK ISTIMEWA MELAYU DAN BUMIPUTERA.

UMNO 71 TAHUN
KATA MESTI DIKOTA
JANJI MESTI DITEPATI

Pemuda UMNO Tetap Pertahan Hak Istimewa Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO tetap akan mempertahankan segala hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara meskipun negara akan melaksanakan Pelan Transformasi Nasional (TN50) pada 2050.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata Pemuda juga meletakkan harapan bahawa Melayu dan Bumiputera tetap mampu bersaing dengan bangsa lain pada masa akan datang walaupun tanpa keistimewaan yang diberikan.

"Pergerakan Pemuda UMNO tidak pernah berganjak daripada pendirian kita iaitu apa yang ada pada hari ini khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera itu kita akan terus pertahankan.

"Bagaimanapun kita percaya pada 2050 nanti, tanpa ada kuota terhadap Melayu dan Bumiputera pun mereka mampu bersaing secara sihat dan kompetitif dengan bangsa lain.

"Bahkan boleh maju dan berdiri lebih tinggi dari bangsa lain. Itu aspirasi yang dinyatakan oleh (Ketua Pemuda UMNO) Khairy Jamaluddin," katanya bagi mengulas kenyataan Khairy baru-baru ini mengenai kuota yang dianggap penghinaan kepada orang Melayu.

Menjelas lanjut, Khairul Azwan berkata kenyataan Khairy yang dikeluarkan semasa wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai TN50 itu telah disalah tafsir oleh beberapa pihak dan menolak perkara itu akan dibawa sebagai usul semasa Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Ditanya mengenai Kajian Invoke Malaysia yang menunjukkan UMNO akan menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14

akan datang jika berlakunya pertandingan tiga penjuru, beliau berkata UMNO sentiasa bersedia dalam sebarang pertembungan.

"UMNO sentiasa bersedia sama ada dua atau tiga penjuru tapi yang penting gerak kerja akan diteruskan untuk memastikan rakyat dapat memilih Barisan Nasional dan UMNO sebagai pilihan pertama," katanya.

Jelasnya Pemuda juga bekerjasama rapat dengan Jentera Rakyat Plus (JR Plus) iaitu gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti komponen BN untuk memastikan keyakinan rakyat kembali kepada BN pada PRU akan datang.

Mengulas mengenai kematian pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang didakwa dipukul pembantu warden, Khairul Azwan berharap Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan lebih teliti dalam memilih individu untuk menggalas jawatan itu.

"Pemilihan untuk warden ini perlu dibuat lebih teliti di mana pihak berkaitan perlu memperketatkan saringan dari segi kriteria untuk memilih dan mungkin juga diberikan kaunseling dari semasa ke semasa bagi warden-warden ini," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Penggemar seni suara merbuk /perkutut Thailand/Siam

Sifat Calon Ahli Surga

Pertandingan Suara Merbuk Siam/Thailand